Wednesday, November 30, 2011

Surah penenang jiwa

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1)

Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam) (2)

Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3)

Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4)

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5)

(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6)

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7)

Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (8)

Sebelum itu, mari kita baca 'Rungutan Sebuah Pasu' petikan daripada Majalah GenQ Isu 2.

Sebuah pasu berharga sedang menunggu masa untuk dilelong. Harganya dianggarkan mencecah puluhan ribu. Kagum dengan pencapaian tersebut, sebuah seterika antik yang juga akan dilelong bertemu pasu tersebut dan mereka berbual-bual.

Seterika antik :Assalamualaikum.
Pasu : Waalaikumussalam. Oh, seterika antik! Apa khabar?
Seterika antik : Alhamdulillah, aku sihat walaupun sedang meniti usia emas. Aku kagum dengan kamu. Kamu bakal mendapat perhatian luar biasa hari ini. Aku ada terdengar orang ramai berbual-bual mengatakan bahawa kamu bakal menjadi rebutan orang berada.
Pasu : Ya? Semua ini bukan mudah dicapai. Bermacam-macam cabaran yang aku terpaksa tempuhi.
Seterika antik : Emm…kedengarannya seolah-olah kamu telah menempuhi masa silam yang cukup perit.
Pasu : Betul tu.
(Pasu tersebut termenung seketika sebelum mula menceritakan kisah silamnya).
1. Tanah liat dicampurkan dengan air dan kemudian diuli-uli. Aku rasa tak selesa dilenyek-lenyek dengan kasar oleh si pembuat pasu.
2. Kemudian, aku diletakkan di atas sebuah tapak yang sentiasa berpusing untuk dibentuk. Waktu tu aku rasa pening.
3. Selesai dibentuk, aku dijemur di bawah terik matahari. Aku tidak mampu lakukan apa-apa melainkan berdiam diri dan bersabar.
4. Selepas itu, aku dibakar dengan suhu yang sangat panas.
5. Aku sangkakan penderitaan aku telah berakhir. Rupa2nya tidak. Ada pula seorang tukang ukir menoreh badanku dengan pisau tajam.
6. Bagi sentuhan terakhir, seorang pelukis melukis motif yang cukup indah di atas badanku. Aku selesa diperlakukan dengan lembut oleh pelukis tersebut walaupun terasa sedikit geli.
Seterika antik : La hawla wala quwwata illa billah. Kamu memang tabah menghadapi semua itu. Kemudian, apa yang terjadi?
Pasu : Kemudian, apabila aku diperagakan di sebuah kedai, aku terpandang diriku sendiri melalui sebuah cermin. Detik itu, baru aku tahu bahawa aku sebuah pasu yang cukup indah. Kalau bukan kerana semua proses yang menuntut aku bersabar tersebut, aku pasti takkan mempunyai nilai seperti hari ini. Aku mungkin hanya akan menjadi pasu tidak bernilai, tersadai di satu sudut rumah dan berlumut.
Seterika antik : Subhanallah. Allah menguji kita, tetapi kemudian Dia menghujani rahmat di sebalik setiap ujian tersebut.
Pasu : Betul tu. Allah tidak pernah menzalimi hamba2-Nya. Tidak sekali-kali. Aku redha dan bersabar sedikit, alhasil kini aku dipamerkan megah.
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”
(Surah al-Insyirah : 5-6)
Kita sering merungut apabila berdepan dengan kesusahan seperti rungutan sebuah pasu di atas. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan, apatah lagi menzalimi hamba-Nya. Allah hadirkan kesusahan untuk menghadiahkan sesudah itu kesenangan. Malah dalam ayat di atas, pengulangan wujud sebagai penegasan. Apakah kita masih ragu-ragu apabila kata-kata yang menduduki tempat pertama di dunia yang boleh dipercayai ini (ayat Allah) diulangi 2 kali?
Di samping itu, kejayaan hanya akan mampu digapai dengan keringat dan penat jerih. Mana mungkin dengan berpeluk tubuh dan goyang kaki, kejayaan, kecemerlangan datang bergolek. Mungkin ada, namun hanya satu dalam sejuta.

Kadang-kadang, bila kita ada masalah atau sedang menghadapi satu ujian yang sangat kecil, kita mudah melenting kepada Allah. Macam-macam persoalan yang kita bangkitkan. Sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang kita tahu. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Ada pula kita marah pada Allah kerana perlakukan kita dengan masalah dan berbagai dugaan.

Secara tidak sedar, sebenarnya kita tak yakin dan percaya pada Allah yang Dia akan selesaikan masalah kita.

"Yakin dan percaya = Iman"

Ujian atau masalah itu sebenarnya adalah penilai bagi iman kita. Jika kita benar-benar redha dan pasrah dengan aturan Allah, kita hanya akan tersenyum dan menerima apa sahaja yang Allah aturkan pada kita. Sebaliknya, kita akan bangkitkan banyak persoalan dan ada pula yang marah pada Allah kerana perlakukan kita sedemikian rupa. Jika perhatikan pada Surah Al-Insyirah,

"Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1)"

tetapi oleh sebab kita mudah lenting dan tidak yakin juga percaya pada Allah, iman kita telah berkurangan dan kita telah jauh daripada petunjuk. Bukankah Allah yang telah memberi masalah dan ujian itu pada kita? Dan sepatutnya kita mohon pada Allah agar selesaikan masalah dan ujian itu. Namun kebanyakkannya, kita mengeluh, marah pada Allah dan tidak mohon pada-Nya agar dipermudah dan diselesaikan masalah itu. Tak solat, tak baca Al-Quran dan berzikir. Mana mungkin petunjuk untuk selesaikan masalah atau ujian itu. Sebaiknya, kita lebih dekatkan diri pada Allah ketika ditimpa masalah dan ujian namun janganlah pula setelah kita menggapai kesenangan, kita lupa yang dahulu kita pernah susah dan dekatkan diri kepada Allah. Bak kata pepatah,

"Kawan ketawa ramai, kawan menangis kurang"

Usah kita lupa pada Allah setelah Dia berikan kita kemudahan dan kesenangan setelah kesulitan. Sentiasalah mengenang tatkala kita menghadapi kesusahan siapa yang tolong? Manusia hanyalah perantara dan Allah lah yang sebenarnya yang telah menolong kita dalam apa jua urusan.

Oleh sebab itu, di kala kita resah, sedih dengan masalah atau ujian yang sedang dihadapi, mohonlah pada Allah, baca dan hayati maksud surah ini dan yakin juga percayalah Allah akan berikan kita kesenangan setelah Dia memberikan kita kesulitan.

"cinta suci yang terindah"

No comments:

Post a Comment